Hari Raya Dolok-Dolok... 1970an (3)

Published by JB under on 9/28/2009 02:02:00 PM
Menziarahi Nenek Di Luak...
Dari aku maseh kecik dolok hingga udah berkeluarga kinek tok, aku sik pernah mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama di rumah. Kadang-kadang kawan bertanya dengan kita ada 'open house' ari raya pertama. Selalu jawapannya memang sik ada. 'Open house' bagi kita orang ialah di rumah urang tua kita (mentua di pujut adong atau di Luak). Bukannya sik maok molah, sebenarnya kita masih mengekalkan suasana ari raya dolok marek dan kita cuba menanamkan suasana tok terus dipraktikkan oleh anak-anak kita pada masa akan datang iaitu "mendolokkan menziarahi urang tua".

Seperti tiap-tiap tahun, kita sekeluarga akan beraya ke rumah nenek di Luak. Selepas ajak kita balit dari masjid, kita sekeluarga bersalam-salaman. Gago jak mak pada waktu ya berkemas segala juadah yang dimasaknya malam tadik untuk diembak ke rumah nenek. Kita pun gago juak, bukan gago apa, cuma mencarik kasut baru untuk dipakei ke Luak kelak. Bapak pada waktu ya udah nyetart enjin kereta. Masing-masinglah kamek orang gago dengan hal ke dirik.

Masa perjalanan dari los cermin ke Luak ngambik masa selamak 25-30 menet perjalanan. Bapak pada waktu ya drep dengan kelajuan 50-60 bsj. Agak panas juak dalam keretanya kerana sik ada 'air-cond' seperti kereta kinek tok. Sebab ya lah apabila sampei ajak di Luak memang rubohlah pesen rambut kenak tiup angin. Tapi ya sik menjadi masalah, yang penting kita udah selamat sampei ke destinasi...

"Salam melekom...'' jerit dari dibah..

"Waalaikum Salam," nenek lakipun nyengok dari pintu. "Eh! cucuk aku rupanya," nenek laki keluar sambil menghulur tangan kanannya ke arahku.

Akupun terus nyambut dan mencium tangannya. Tangan sebelah kirik nenek lagik mengusap kepalaku. "Cuk.. belajar kuat-kuat, supaya jadi urang pandei, senang dapat kerja kemudian ari kelak, sehat tubuh badan," nasehat nenek laki untukku. Selepas tangannya, dahinya ku cium. Nenek laki cuma tersenyum ajak tanda rasa gembira.

Selepas aku, baruklah dak abang dan kakak terus bersalaman dengan nenek laki dan ku dengar nasehat yang sama terus terbit dibibir nenek laki untuk cucuk-cucuknya yang lain.

Abok (Seniah) dan Chik (Osman Ali) bersama-sama dengan keluarga masing-masing bergambar dengan nenek laki (Sulaiman bin Aspar)

Aku terus duduk berhadapan dengan nenek perempuan dan mencium kedua-dua tangannya. Dapat kudengar nenek pempuan mengatakan "besar udah cucuk aku tok, doakan sehat, pandei belajar, dimurahkan rezeki dan ......." ku liat nenek pempuan hanya tersenyum apabila kucium dahinya sama seperti nenek laki.

Boleh dikatakan waktu tok suasana agak emotional sikit.. Kadang-kadang ku liat nenek pempuan ngesat aik matanya apabila dan mak dan bapak bersalam-salaman dengannya. Sik lamak lepas ya baruklah dak UDAK (Mat dan keluarganya), NGAH (Maimunah dan keluarganya), ENJANG (Maidin dan keluarganya), CHIK (Osman Ali dan keluarga dari Pujut Padang Kerbau), Abok (SENIAH dan keluarga) dan Pak Pai (Gapar) datang. Maka bersalam-salamanlah kamek orang. Riuh rendah ajak bunyi. Lain lagik suara TV rancangan ari raya melalak sik tentu arah.

Bagi aku... pada waktu ya sik paham gilak erti kesedihan dan sebagainya. Yang kita tauk setiap hari raya suasana happy cam tok lah berlaku. Kita dapat berjumpa dengan dak kazen mazen, minum aik gas dan lepas ya kita bermain di halaman rumah.

Kinek tok masa udah berlalu.., meskipun nenek laki, nenek pempuan, mak dan babak mentua udah meninggalkan kita (kembali kerahmatullah), kita masih lagik mempraktikkannya. Setiap hari raya pertama, selepas kita sekeluarga bersalam-salaman, kita orang terus ke rumah mak mentuaku di Pujut Adong. Selepas dari sia baruklah kamek orang beredar ke Luak. Sebelah petang / malam nya kamek orang akan menziarahi bapak dan mak menakan di Luak atau di pujut.

Kadang-kadang dak member-member pandei merungut kerana 'first day' ari raya selalu ajak sik ada di rumah. Jangan heran, yalah kelaziman kamek sekeluarga apabila menyambut ari raya. Bagi sesetengah urang, hari raya pertama adalah open house bagi daknya, tapi lainlah bagi kamek orang. Kalau sik pegi ke rumah urang tua kita, sik meriahlah suasana raya ya..

"Kepada anak-anakku, ingatlah betapa gembiranya ati urang tua apabila anak-anaknya, cucuk-cucuknya mencium tangan, memohon ampun dan bermaaf-maafan terutama di pagi Syawal. Dan ingatlah juak, erti pengorbanan urang tua terutama ayah dan bonda..."

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih, komen anda akan disiarkan kemudian.

 
Powered By Blogger