Islam dan Hidup Berjiran

Published by JB under on 2/17/2010 08:32:00 PM
(Artikel ini adalah merupakan tulisan Dr. Saodah Abdul Rahman yang bertajuk RENUNG SEMULA HIDUP BERJIRAN yang disiarkan dalam Utusan Online bertarikh 22 Januari 2010. Semoga ianya menjadi renungan dan panduan kita dalam hidup berjiran, lebih-lebih lagi hubungan kita dengan masyarakat bukan Islam)

Renung semula prinsip hidup berjiran
Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN


MANUSIA dikenali sebagai makhluk yang bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat merupakan prinsip atau konsep kehidupan umat Islam yang terpenting. Corak kehidupan individualistik yang terlalu mementingkan diri dan kelompok adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi membentuk satu masyarakat yang aman dan harmoni, Islam menyeru umatnya supaya mengamalkan konsep kehidupan yang bercirikan jujur, toleransi, memahami antara satu sama lain secara mendalam (mutual understanding), bersabar, pemurah, lemah lembut dan lunak dalam mengendalikan hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai pekerjaan yang paling baik untuk dilakukan oleh seorang Muslim. Baginda menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:"Berbicara dengan orang lain secara halus dan lembut, pemurah, mesra dan melayani mereka dengan baik".

Sifat dan sikap yang berunsurkan kemesraan, kelembutan, kemurahan dan toleransi yang wujud dalam diri individu Islam adalah hasil daripada kefahaman ajaran Islam yang mendalam.

Empat asas terpenting dalam ajaran Islam yang sepatutnya difahami oleh umat Islam dan dijadikan prinsip hidup bagi membentuk satu masyarakat yang harmoni dan bertamadun.

Pertama, Islam adalah satu agama yang fitrah. Ia sesuai untuk diamalkan oleh manusia tanpa mengira bangsa, sempadan dan masa.

Kedua, Islam adalah agama yang moderate/sederhana. Ia bukan satu ajaran yang fanatik dan radikal atau ganas. Ketiga, Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan manusia dengan pelbagai adat dan tradisi yang menjangkaui kemampuan manusia.

Keempat, Islam adalah agama yang menuntut perlakuan atau tingkah laku baik berunsurkan kepada kelembutan yang berdasarkan perbuatan yang baik, kemurahan dan dan ketinggian moral.

Hasil daripada mengamalkan empat prinsip terpenting ini maka Rasulullah, para sahabat dan umat Islam masa silam mampu membentuk satu masyarakat yang ideal dan dihormati oleh orang Islam dan bukan Islam.

Sifat toleransi dan kemesraan yang wujud dalam diri umat Islam bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan yang rapat sesama umat Islam, malah ia juga dapat menghubungkan persahabatan yang akrab dengan masyarakat bukan Islam.

Sifat dan sikap keterbukaan umat Islam terhadap masyarakat bukan Islam adalah hasil daripada didikan agama Islam yang amat mementingkan keamanan dan keharmonian.
Konsep dan prinsip ajaran Islam yang menekankan aspek hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk mampu membentuk umat Islam menjadi orang yang paling bertolak ansur, bersabar, memaafkan musuh, berkongsi kekayaan, kekuasaan dan tanah air dengan masyarakat bukan Islam.

Perkongsian hidup bersama masyarakat bukan Islam diperluaskan lagi dengan konsep hidup berjiran. Bagi mengukuhkan hubungan manusia dengan manusia, Islam menyeru umatnya supaya mengambil berat dan menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga tanpa mengira bangsa dan agama.

Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: "Malaikat Jibril sentiasa berpesan kepada Aku supaya berbuat baik kepada jiran sehingga Aku sangka jiran akan mewarisi".

Umat Islam dilatih supaya menjadi satu masyarakat yang pemurah dan belas kasihan terhadap jiran sehingga berkongsi makanan. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Rasulullah SAW ketika baginda bersabda kepada Abu Dzar yang bermaksud: "Wahai Abu Dzar! Jika kamu memasak sup dan tambahlah kuahnya dan ingatlah jiranmu".

Berdasarkan kepada prinsip dan konsep hidup begini maka umat Islam merupakan satu masyarakat yang amat prihatin terhadap konsep kemanusiaan.

Keamanan dan keharmonian yang wujud dalam negara ini berpuluh tahun lamanya adalah hasil daripada konsep hidup kejiranan yang kukuh di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Hubungan kejiranan dalam bentuk universal seperti diajar oleh agama Islam jika dijadikan sebagai prinsip kehidupan setiap individu dalam negara ini maka keamanan dan keharmonian di antara kaum dapat dikekalkan.

Keharmonian dan keamanan sukar diwujudkan melalui aktiviti politik dan perundangan. Hubungan sesama individu dalam bentuk kejiranan dan persahabatan yang diasaskan melaluimutual understanding, rasa hormat menghormati dan kasih sayang adalah lebih kukuh dan bermakna.

Islam menegaskan bahawa keperibadian mulia yang disulami dengan perasaan kasih sayang, toleransi, berlunak dalam hubungan sesama manusia adalah senjata yang paling baik bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat. Oleh itu, kukuhkan prinsip kehidupan berjiran melalui pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan kenegaraan bagi menjamin keamanan dan keharmonian dalam negara ini.
-----------------------------------------------------
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih, komen anda akan disiarkan kemudian.

 
Powered By Blogger