Salam Maal Hijrah 1423H

Published by JB under on 12/06/2010 09:09:00 AM
Masa, hari, bulan dan tahun terus berlalu, bermakna usia turut bergerak... anak-anak terus membesar... bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan...



Ya Allah aku mohon keampunan daripada Mu, kesilapan, kealpaan dan kesombongan.. Berikanlah kami hidayahMu, petunjukMu dan panduanMu supaya kami tidak melakukan kesilapan, lupa kepadaMu dan sombong disebabkan oleh kekayaan dunia.. Engkau limpahkanlah kami dengan keinsafan, kemurahan rezeki dan ilmu pengetahuan yang berguna kepada kami dan anak-anak kami bagi menempuhi kehidupan di dunia dan akhirat. Engkau lindungilah kami dari wabak penyakit, hasad dengki atau perbuatan yang boleh membawa kepada kemudharatan kepada kami..

Ya Allah.. Engkau ampunkanlah dosa-dosa kedua orang tua kami.. tempatkanlah mereka bersama-sama orang-orang yang engkau janjikan surga kepada mereka.

Amiin.. Ya Rabbal 'alamin...

Ramadhan datang lagi...

Published by JB under on 8/10/2010 11:31:00 PM
Rioh rendah jak dak jiran-jiran kita .. masing-masing gago petang tadik.. ada yang baruk nak nangkap manok untuk disembelih pakei saor malam tok.., jiran di sebelah rumah baru nutok.. nutok sambal beelacan agaknya.. Aku ndiat mak aku gago merah santan ... harum jak bau rumah dengan asap kari, manok goreng dan lain-lain lagik..

Dak bapak-bapak nembiak los gago jak nyuci kereta, nyuci motorsikal bagi yang ada motorsikal dan ngelap basikal ..Ada yang setengah jalan ajak kerana udah disuroh beli kari, nyior parut, gaaram, bawang atau gula kerana stock udah abis..

Kirik-kanan, depan-belakang rumah jiran masing-masing gago.. takut besok ari posa.

Kita dapat nengar radio miri dipasang besar-besar pakei nengar pengumuman oleh mohor-mohor besar ..

... " Dengan ini diisytiharkan bahawa puasa bulan ramadhan pada tahun ini jatuh pada ......"

yEAAAAAAHHH besok puasa...

Jalan-Jalan Di Labuan

Published by JB under on 5/09/2010 06:26:00 PM
9 Mei 2010, LABUAN: Mula-mula rasanya Labuan tok besar. Rupa-rupanya Labuan sik banyak berubah. Kenapa?
  1. Selok-belok jalan di bandarnya masih seperti dolok cuma ada tambahan
  2. Perubahan nyata hanya berlaku di kawasan UJANA KEWANGAN yang menempatkan bangunan elit. Tapi sayang, kedai-kedai yang terdapat di dalamnya kurang menarik, boleh dikatakan setting kedainya ala kadar saja.. Harga pakaian.. MAHAL.
  3. Di kawasan bandar kita boleh berjalan kaki banyak kedai 2-3 tingkat sahaja. Barangan yang dijual pelbagai dan di sini ramai orang India. Sesekali terasa macam "The Little India" di Jalan Masjid India KL.. apatah lagi apabila mereka memainkan lagu Tamil / Hindustan..
  4. Tempat makan banyak, tapi dari segi rasanya tidak ada yang menarik dan harganya agak berapi sedikit dengan menu yang sama di tempat kita.


Sik banyak tempat yang dilawat kerana tujuan ke Labuan ialah untuk mendaftar anak ke Matrikulasi. Sempat juak ke Muzium Labuan..bersebelahan dengan Labuan Tourism Information Centre. Meskipun kecik tapi bahan sejarahnya lengkap dengan koleksi bahan cetakan dan beberapa artifak lama seperti pedang Jepun, kelongsong anti kapal selam dan peluru... Rugi kalau ke Labuan sik melawat muzium kerana maklumat dan bahan yang ada cukup memberi gambaran kepada kita tentang sejarah Labuan.

Bagaimanapun kali ini sik sempet ke World War II memorial Park.. Mungkin lain kalilah..

Bersama Encik Lucas Johnny...

Published by JB under on 3/07/2010 08:20:00 AM
YB Tuan Haji Ahmad Lai sempat meluangkan masa melawat Pameran Stem &
Koleksi Lama Encik Lucas Johnny bertempat di Pustaka Miri

7hb Mac 2010 - Miri: "MINAT untuk mengumpul barangan lama dan baru adalah atas kesedaran bahawa suatu masa kelak boleh dijadikan tatapan untuk generasi akan datang", kata Encik Lucas Johnny sewaktu beliau ditemui di Pameran Stem dan Koleksi Lama bertempat di Pustaka Miri baru-baru ini.

Koleksi poskad dan barangan yang beliau perolehi dari Seychelles
Antara koleksi beliau yang dipamerkan kebanyakannya stem dari pelbagai negara. Yang menariknya koleksi stem Sarawak yang disusun rapi, koleksi stem Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, koleksi stem Seniman Lagenda P. Ramlee, stem Michael Jackson, koleksi syiling lama, koleksi poskad dari pelbagai negara, koleksi kad telefon lama dan baru dan banyak lagi..

Koleksi Syiling lama

Koleksi Stem Sarawak..

Menyorot kembali kisah hidup dan pengalaman Encik Lucas Johnny, saya agak tergaman seketika kerana insan yang berada di hadapan saya sebenarnya adalah salah seorang chef yang bertaraf INTERNATIONAL. Saya berani berkata demikian kerana beliau merantau di banyak negara luar sebagai chef.. Dari situlah beliau mula mengumpul bahan-bahan ini. dan hari ini koleksi beliau sendiri telah menceritakan pengalaman serta catatan beliau di tempat orang..

Koleksi Seniman Lagenda, Tan Sri P. Ramlee

Sambutan Maulidur Rasul Bahagian Miri 1431H

Published by JB under on 2/24/2010 09:20:00 AM

Sambutan Maulidur Rasul Bahagian Miri 1431H

Published by JB under on 2/18/2010 08:34:00 AM
1. Forum Perdana
  • Masjid Darul Ehsan Piasau Jaya (20/2/2010; Masa: Antara Maghrib - Isya)
  • Masjid Al-Jabbar, Daerah Kecil Niah (24/2/2010; Masa: Antara Mahgrib-Isya)
  • Masjid At-Taqwa Miri (25/2/2010; Masa: Antara Maghrib-Isya)
  • Masjid Darul Khairat Bakam (26/2/2010; Masa: Antara Maghrib-Isya)
2. Program Ceramah Bersiri Masjid & Surau
  • Masjid Nur Hijrah, Pulau Melayu (17/2); Masjid Ar-Rayyan, Permyjaya (18/2); Masjid Nurul Ibadah Kpg Muhibbah, Kuala Baram (19/2); Surau Jamilun Subhi, Kpg Pujut Adong (21/2); Masjid Darul Hana, Kpg Tunku Abd Rahman Lambir (22/2); Masjid Nurul Iman Kpg Masjid, Kuala Baram (22/2); Masjid al-Muttaqin, Bekenu (23/2); Surau Darus Salam, Taman Bumiko (23/2); Masjid Al-Firdaus, Taman Tunku (24/2); Surau Kem Sri Miri (25/2)
3. Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri.
  • Tarikh : 12 Rabiulawal 1431H bersamaan 25 Februari 2010 (Jumaat)
  • Tempat : Dewan Suarah Miri
  • Masa : 6.00 pagi: Ketibaan & Pendaftaran Peserta; 7.00 pagi : Majlis Bermula.
Umat Islam adalah dijemput hadir beramai-ramai di majlis ilmu dan majlis perhimpunan dan perarakah bagi meningkatkan dakwah atas semangat "Ukhuwah Islamiah".

Islam dan Hidup Berjiran

Published by JB under on 2/17/2010 08:32:00 PM
(Artikel ini adalah merupakan tulisan Dr. Saodah Abdul Rahman yang bertajuk RENUNG SEMULA HIDUP BERJIRAN yang disiarkan dalam Utusan Online bertarikh 22 Januari 2010. Semoga ianya menjadi renungan dan panduan kita dalam hidup berjiran, lebih-lebih lagi hubungan kita dengan masyarakat bukan Islam)

Renung semula prinsip hidup berjiran
Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN


MANUSIA dikenali sebagai makhluk yang bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat merupakan prinsip atau konsep kehidupan umat Islam yang terpenting. Corak kehidupan individualistik yang terlalu mementingkan diri dan kelompok adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi membentuk satu masyarakat yang aman dan harmoni, Islam menyeru umatnya supaya mengamalkan konsep kehidupan yang bercirikan jujur, toleransi, memahami antara satu sama lain secara mendalam (mutual understanding), bersabar, pemurah, lemah lembut dan lunak dalam mengendalikan hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai pekerjaan yang paling baik untuk dilakukan oleh seorang Muslim. Baginda menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:"Berbicara dengan orang lain secara halus dan lembut, pemurah, mesra dan melayani mereka dengan baik".

Sifat dan sikap yang berunsurkan kemesraan, kelembutan, kemurahan dan toleransi yang wujud dalam diri individu Islam adalah hasil daripada kefahaman ajaran Islam yang mendalam.

Empat asas terpenting dalam ajaran Islam yang sepatutnya difahami oleh umat Islam dan dijadikan prinsip hidup bagi membentuk satu masyarakat yang harmoni dan bertamadun.

Pertama, Islam adalah satu agama yang fitrah. Ia sesuai untuk diamalkan oleh manusia tanpa mengira bangsa, sempadan dan masa.

Kedua, Islam adalah agama yang moderate/sederhana. Ia bukan satu ajaran yang fanatik dan radikal atau ganas. Ketiga, Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan manusia dengan pelbagai adat dan tradisi yang menjangkaui kemampuan manusia.

Keempat, Islam adalah agama yang menuntut perlakuan atau tingkah laku baik berunsurkan kepada kelembutan yang berdasarkan perbuatan yang baik, kemurahan dan dan ketinggian moral.

Hasil daripada mengamalkan empat prinsip terpenting ini maka Rasulullah, para sahabat dan umat Islam masa silam mampu membentuk satu masyarakat yang ideal dan dihormati oleh orang Islam dan bukan Islam.

Sifat toleransi dan kemesraan yang wujud dalam diri umat Islam bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan yang rapat sesama umat Islam, malah ia juga dapat menghubungkan persahabatan yang akrab dengan masyarakat bukan Islam.

Sifat dan sikap keterbukaan umat Islam terhadap masyarakat bukan Islam adalah hasil daripada didikan agama Islam yang amat mementingkan keamanan dan keharmonian.
Konsep dan prinsip ajaran Islam yang menekankan aspek hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk mampu membentuk umat Islam menjadi orang yang paling bertolak ansur, bersabar, memaafkan musuh, berkongsi kekayaan, kekuasaan dan tanah air dengan masyarakat bukan Islam.

Perkongsian hidup bersama masyarakat bukan Islam diperluaskan lagi dengan konsep hidup berjiran. Bagi mengukuhkan hubungan manusia dengan manusia, Islam menyeru umatnya supaya mengambil berat dan menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga tanpa mengira bangsa dan agama.

Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: "Malaikat Jibril sentiasa berpesan kepada Aku supaya berbuat baik kepada jiran sehingga Aku sangka jiran akan mewarisi".

Umat Islam dilatih supaya menjadi satu masyarakat yang pemurah dan belas kasihan terhadap jiran sehingga berkongsi makanan. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Rasulullah SAW ketika baginda bersabda kepada Abu Dzar yang bermaksud: "Wahai Abu Dzar! Jika kamu memasak sup dan tambahlah kuahnya dan ingatlah jiranmu".

Berdasarkan kepada prinsip dan konsep hidup begini maka umat Islam merupakan satu masyarakat yang amat prihatin terhadap konsep kemanusiaan.

Keamanan dan keharmonian yang wujud dalam negara ini berpuluh tahun lamanya adalah hasil daripada konsep hidup kejiranan yang kukuh di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Hubungan kejiranan dalam bentuk universal seperti diajar oleh agama Islam jika dijadikan sebagai prinsip kehidupan setiap individu dalam negara ini maka keamanan dan keharmonian di antara kaum dapat dikekalkan.

Keharmonian dan keamanan sukar diwujudkan melalui aktiviti politik dan perundangan. Hubungan sesama individu dalam bentuk kejiranan dan persahabatan yang diasaskan melaluimutual understanding, rasa hormat menghormati dan kasih sayang adalah lebih kukuh dan bermakna.

Islam menegaskan bahawa keperibadian mulia yang disulami dengan perasaan kasih sayang, toleransi, berlunak dalam hubungan sesama manusia adalah senjata yang paling baik bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat. Oleh itu, kukuhkan prinsip kehidupan berjiran melalui pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan kenegaraan bagi menjamin keamanan dan keharmonian dalam negara ini.
-----------------------------------------------------
Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
 
Powered By Blogger